Pengenalan

PENGENALAN PUSAT SUMBER

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menggariskan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah merupakan institusi pendidikan yang terpenting dalam pelaksanaan sistem pendidikan kita. Pada masa kini, murid-murid dikelilingi pelbagai maklumat melalui pelbagai sumber berbanding pada masa-masa yang lalu. Untuk menguasai pelbagai maklumat, mereka perlu memperkembang dan menguasai kemahiran pengendalian maklumat secara berkesan. Pembelajaran berasaskan sumber merupakan pendekatan yang terbaik untuk menerapkan kemahiran-kemahiran membaca, belajar dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Pendekatan ini berasaskan tanggapan bahawa murid-murid belajar lebih berkesan melalui interaksi secara langsung dengan sumber-sumber yang berkenaan daripada hanya mendengar melalui syarahan-syarahan di bilik darjah.

Dalam konteks ini, Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan komponen yang penting dalam menyokong dan melaksanakan proses pendidikan yang berkesan di sekolah-sekolah. PSS perlu memberi idea dan maklumat sebagai asas kepada kejayaan masyarakat yang memainkan peranan masa kini dan sentiasa bermaklumat dan berilmu pada masa akan datang. PSS menerapkan kemahiran-kemahiran pembelajaran sepanjang hayat dan memperkembang daya imaginasi untuk menghadapi cabaran dan tanggungjawab sebagai warga negara.

No comments:

Post a Comment